PROMOSI TERKINI-KLIK YA

Sunday, October 21, 2012

UCAPAN PERPISAHAN WAKIL MURID TAHUN 6

Assalamualaikum w.b.k. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis. Yang berusaha Tuan Guru Besar, Encik Mohd Nizam Bin Abu Bakar, barisan penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Hadirin sekalian,

     Pertama kali,saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi kepercayaan mewakili rakan-rakan dalam menyampaikan ucapan wakil pelajar tahun enam dalam majlis Jamuan Akhir Tahun anjuran murid Tahun Enam, Pengawas dan Pengawas Perpustakaan Sekolah Kebangsaan Seri Pasir 2012 ini.

     Seterusnya, saya bagi pihak pelajar Tahun Enam ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua guru yang telah mendidik kami. Sebahagiannya bermula dari peringkat Pra Sekolah, dan sebahagian besarnya bermula dari Tahun Satu sehinggalah ke Tahun Enam, daripada kami tidak mengenal huruf dan angka, sehinggalah kami dapat menguasai semua kemahiran yang dikehendaki. 

    Pada kesempatan ini juga, kami menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf, seandainya ada antara kami ada yang melakukan kesalahan dan kekhilafan dari segi tutur kata dan perbuatan. Selain itu, sebagai wakil bagi semua pengawas dan pengawas perpustakaan 2012, kami juga memohon maaf, sekiranya kami tidak dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sebagaimana yang diharapkan.

Akhir kata, sampaikanlah salam kami kepada guru-guru yang sudah tidak bersama-sama kita lagi, sama ada telah berpindah atau bersara, katakanlah bahawa jasa dan bakti mereka, dan guru-guru yang ada di sini, akan kami sanjungi dan kami ingati sepanjang hayat kami. Hanya Allah sahajalah yang membalas segala pengorbanan guru-guru itu.

Sekian, wasalamualaikumwarohmatullahiwabarokatuh.